.: Assalamualaikum :.
Sekarang dah masuk 18 Ramadan dah.. Apa yang korang dapat dalam masa 17 hari berpuasa ni? Ada kawan-kawan saya cakap mereka dah gemuk, berisi, tembam.. Sebab apa ya??
Sebab makan banyak time berbuka la tu kan.. Haa... kawan-kawan semua, limitlah makan tu k.. Kawal lah nafsu makan tu.. Semalam saya ada terbaca artikel pasal mudarat makan banyak.. So, saya nak share lah ni..
Bulan Ramadan bukan hanya mendidik manusia untuk berlapar dan dahaga sahaja. Malah juga mendidik sikap kesederhanaan dalam hidup yang amat digalakkan di dalam Islam.
Menurut Imam al-Ghazali sifat kesederhanaan akan menjadikan kita akan berhati-hati dan menjaga dalam dua perkara yang dituntut, iaitu tidak terlibat dengan perkara yang haram dan syubhat, dan memelihara diri daripada berlebihan dalam perkara halal.
Bagi mencapai darjat takwa, antara anggota yang perlu dijaga ialah perut dengan tidak memakan makanan atau minuman secara berlebihan pada bulan puasa.
Imam al-Ghazali di dalam kitab Manhaj al-Abidin mengingatkan kita bahawa perut adalah anggota yang paling sukar dijaga sekalipun di kalangan ahli ibadat. Justeru, beliau telah menyenaraikan 10 kemudaratan berpunca daripada pengambilan makanan yang berlebihan;
1. Hati menjadi keras
Makan banyak bukan sahaja menjadikan hati semakin keras, malah cahaya akan pergi dan padam. Nabi Muhammad SAW bersabda mengumpamakan di dalam hadis baginda bahawa hati manusia akan mati dengan banyak makan dan minum sekalipun halal sebagaimana tanaman yang banyak disiram air.
2. Menimbulkan fitnah kepada anggota badan
Apabila perut kita kenyang yang berlebihan akan menambahkan kecerdasan kepada anggota badan yang lain. Anggota lain akan bergerak cergas melakukan perkara yang tidak bermanfaat dan mensia-siakan. Mata akan menjadi liar, telinga akan mendengar yang sia-sia, lidah akan banyak berkata-kata, seterusnya semua anggota kaki, tangan dan lain-lain akan bergerak cergas.
Sebaliknya, apabila perut lapar semua anggota lain akan tenteram, tenang dan tidak bernafsu untuk melakukan perkara yang haram dan sia-sia. Anggota menjadi lemah, tidak cergas disebabkan oleh tiadanya ransangan makanan.
3. Melemahkan fikiran
Orang yang banyak makan akan menjadikan fikirannya lemah, lembab dan tidak bertenaga. Apabila anggota lain menjadi lemah, secara tidak langsung fikiran dan minda menjadi lemah. Makanan yang berlebihan melemahkan ingatan, melambatkan hafalan dan memadamkan apa yang disimpan dalam ingatan, seterusnya menghilangkan kecerdikan. Abu Sulaiman Abdul Rahman Al-Darani mengatakan bahawa apabila kita menginginkan sesuatu, maka jangan kita makan sehingga apa yang kita ingini berhasil. Ini kerana dengan makan boleh mengubah fikiran kita.
4. Mengurangkan ibadat
Perut yang berlebihan kenyang akan menjadi badan semakin berat dan sukar untuk bergerak cergas. Mata akan menjadi mengantuk, kaki, tangan dan anggota lain menjadi lesu dan perlu kepada kerehatan. Akhirnya kita akan tertidur dengan nyenyaknya. Orang yang berada dalam kekenyangan seumpama ditimpa penyakit lumpuh.
5. Menghilangkan kemanisan beribadat
Makan yang berlebihan akan mengurangkan kemanisan beribadat. Sayidina Abu Bakar RA pernah mengatakan bahawa dirinya tidak pernah merasai kenyang semenjak beliau memeluk agama Islam agar dirinya mendapat kemanisan beribadat. Dirinya tidak pernah puas minum dengan harapan untuk bertemu Allah.
Sembahyang yang dilakukan dalam keadaan kekenyangan tidak mendatangkan khusyuk. Maka sebab itulah salah satu Allah mewajibkan ibadat berpuasa sebagai salah satu latihan fizikal agar kita mendapat kemanisan beribadat.
6. Terdedah kepada perkara syubhat dan haram
Makan yang berlebihan mudah terdedah dan terjerumus kepada syubhat dan haram. Menurut Imam al-Ghazali makanan yang halal itu hanya datang kepada kita sekadar untuk menjadi makanan. Pada hakikatnya harta yang syubhat dan haram itu banyak dan mudah diperoleh.
Bahkan kadang-kadang datang secara tiba-tiba tanpa bersusah payah, berusaha keras, tanpa penat dan lelah, tanpa masa yang lama dan tanpa diduga oleh kita. Namun harta yang halal dan bersih lagi suci itu sedikit dan sukar diperoleh.
7. Menyibukkan hati dan badan
Manusia sentiasa sibuk dan resah apabila memikirkan tentang makanan. Masa yang banyak dihabiskan untuk menumpukan kepada makan dan minum. Bermula memikirkan tentang apa yang ingin dimakan, kemudian difikirkan pula soal penyediaannya sehinggalah selesai.
Imam al-Ghazali menjelaskan begitu ramai manusia menghabiskan usia kerana makan, apatah lagi cara penyediaan makanan hari ini dengan pelbagai menu sehingga berjam-jam lamanya. Berbeza kalau dilihat pada bulan Ramadan, suasana pada siang harinya tenang.
8. Bebanan urusan akhirat
Pesanan daripada Rasulullah SAW bahawa seseorang yang menikmati kelazatan dunia yang berlebihan akan menerima banyak halangan, kesusahan dan kepayahan semasa sakarat al-maut dan di akhirat.
Kelazatan di akhirat akan berkurang mengikut kadar kelazatan yang dihabiskan di dunia. Sekiranya di dunia dihabiskan masa dengan kemewahan, kesenangan, keseronokan maka pastinya banyak sekatan, tapisan yang akan dihadapi untuk menuju ke syurga. Di akhirat nanti akan melambatkan urusan untuk ke syurga.
9. Kurangnya panjaran pahala di akhirat
Sesungguhnya kelazatan negeri akhirat akan berkurang berdasarkan apa yang kita ambil daripada kelazatan di dunia. Justeru, Allah akan memberi jaminan tidak sesekali akan mengurangkan kelazatan di akhirat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik.
10. Tertahan di Padang Mahsyar
Makan berlebihan akan tertahan di Padang Mahsyar kerana kiraan hisab amalan. Kita juga akan mendapat celaan dan cemuhan malu kerana tidak mementingkan soal adab. Ini kerana berlebihan itu sebenarnya adalah menurut hawa nafsu syahwat. Setiap amalan yang halal itu tidak akan terlepas daripada kiraan hisab Allah. Tempoh yang lama di padang Mahsyar akan melambatkan kita memasuki syurga Allah.
Bulan Ramadan mendidik umat Islam agar bersifat sederhana terutama dalam urusan makan semasa waktu berbuka. Elakkan daripada berbelanja dengan membeli makanan secara berlebihan agar kita tidak terjerumus kepada perkara yang haram iaitu pembaziran dan pemborosan yang menjadi amalan syaitan.
Amalan bersederhana ini akan menyelamatkan diri kita daripada 10 perkara yang merosakkan ibadat akibat daripada makan yang berlebihan, dan mengelakkan diri daripada ditimpa penyakit. Ini kerana punca segala penyakit fizikal juga adalah berpunca daripada amalan pemakanan yang salah.
So readers, control makan k.. Jangan makan banyak-banyak tahu.. Saya tak nak readers saya tak sihat.. Nanti siapa yang nak baca entry saya lagi? hehe.. Sayang korang semua.. Muahhxx :)
Sedapnya makanan.. Sila control nafsu ok!
Jangan jadi macam ni.. Susah nanti..
Kalau badan sihat, hati tenang, nak beribadat pun senang kan :)
3 comments:
FAKTA ! Kurang ibadat tu mmg betoi sgt2.. huhu
mari kita kejar lailatulqadar :)
Tertahan di padang mahsyar? MasyaAllah, tak nak makan banyak dah :'(
Post a Comment